Pelabuhan bertaraf antarabangsa di Bintulu



Orang Bintulu bertuah kerana mendapat pelabuhan bertaraf antarabangsa... Pasti banyak lagi pembangunan yang akan dibawa oleh kerajaan.
 
Suka saya ingatkan bahawa janji ketika PRU-13 bukan hanya di satu tempat tetapi membabitkan seluruh negara jangan lupa tunaikan.


BINTULU 12 Feb. - Samalaju Industrial Port Sdn. Bhd. (SIPSB) di sini, bakal menjadi sebuah pelabuhan laut dalam bertaraf antarabangsa apabila pembinaannya siap sepenuhnya pada 2016.
 
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelabuhan yang beroperasi di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) itu akan menjalankan operasi import dan eksport serta aktiviti perdagangan lain.
 
Katanya, kerajaan negeri yakin pelabuhan itu berupaya memperkasakan industri perkapalan dan pelabuhan laut dalam di Sarawak.
 
“Kos pembinaan pelabuhan ini telah menelan belanja sebanyak RM1.8 bilion dan ketika ini tumpuan dilakukan terhadap pembinaan dermaga serta tempat kapal berlabuh yang dijangka siap April depan.
“Kerajaan negeri juga yakin pelabuhan ini mampu menampung kapasiti barangan import dan eksport mencecah sehingga 80 juta tan sekali gus menjadikan industri berat di Sarawak akan semakin sibuk pada masa akan datang," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan SIPSB di sini hari ini.
 
Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata, ketika ini sebanyak enam syarikat yang beroperasi di SIP telah membuat perjanjian komersial dengan SIPSB bagi menjalankan pelbagai urusan import dan eksport.
 
Katanya, kesemua syarikat berkenaan juga dijangka akan melakukan penghantaran barangan ke pelbagai destinasi berkaitan dan operasi semasa mereka di kawasan perindustrian mega tersebut.
 
Sementara itu, beliau berkata, loji rawatan air bersih di SIP yang dijangka beroperasi Mac ini akan meningkatkan kapasiti air ke seluruh kawasan industri dan penempatan di SIP, sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan air di kawasan itu.
 
Tambahnya, kerajaan negeri bangga dengan syarikat kontraktor tempatan yang dilantik kerana berjaya menjalankan projek pembinaan penyediaan prasarana dan kemudahan di SIP mengikut masa ditetapkan. - Utusan Malaysia

Comments

Popular Posts