SPR Kaji Hukuman Lebih Berat Jika Wakil Rakyat Letak Jawatan Tanpa Sebab Munasabah



Perkara ini perlu dilakukan lebih awal, memandangkan wakil rakyat ini sesuka hati je buat keputusan nak letak jawatan atau apa-apa saja.
 
Kami sebagai rakyat penat dengan karenah mereka ini. Wakil rakyat di Parlimen dan SPR  gubal undang-undang cepat sikit.
 
Jangan hanya pandai bercakap, tapi bila nak laksana macam-macam alasan yang diberikan.
 
Pernah ada di Parlimen, wakil rakyat sama ada pembangkang atau kerajaan semasa bersidang maki hamun tetapi bila habis jadi kawan baik boleh gelak-gelak lagi. Kami memilih tuan-tuan semua itu agar masa depan kami lebih terjamin. Kalau main-main siaplah nanti dalam PRU akan datang

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji keperluan dan cadangan meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab munasabah.
 
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pindaan itu bagi mengelakkan 'penyakit' meletak jawatan tanpa sebab 'merebak' kepada wakil rakyatlain, selain dilihat tidak bermoral.
 
"Perkara ini (meminda undang-undang) memang tidak terletak dalam bidang kuasa SPR, sebaliknya di tangan ahli politik. Bagaimana pun kita akan fikirkan sesuatu jika perbuatan ini berterusan," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.
 
Menurut undang-undang sedia ada, baik Perlembagaan Persekutuan mahupun perlembagaan negeri, seseorang wakil rakyat iaitu anggota Dewan Rakyat (persekutuan) dan anggota Dewan Undangan Negeri (perlembagaan negeri), akan hilang kelayakan menjadi anggota dewan yang berkenaan selama lima tahun, bermula tarikh peletakan jawatannya.
 
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima banyak cadangan berhubung perkara itu susulan tindakan Lee Chin Chen mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 27 Jan lalu, bagi memberi laluan kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.
 
Sehubungan itu, pilihan raya kecil (PRK) DUN N25 Kajang akan diadakan pada 23 Mac ini dengan penamaan calon ditetapkan oleh SPR pada 11 Mac.
 
"Saya harap kes di Kajang akan menjadi 'isolated case' dan tidak menjadibudaya kepada yang lain. Jika penyakit ini merebak, memang perlu dilakukan sesuatu kerana letih kita untuk sentiasa mengadakan PRK selain ia menggunakan banyak kos.
 
"Kita tidak mahu wujud satu budaya orang letak jawatan hanya nak bagi ketuanya, adik, rakan atau teman wanita rasa menjadi wakil rakyat kerana ini penyalahgunaan proses demokrasi," katanya.
 
Abdul Aziz bagaimanapun mengakui bukan mudah meminda undang-undang kerana SPR tidak mempunyai bidang kuasa bagi berbuat demikian, namun berharap usul itu boleh dipertimbang oleh mana-mana wakil rakyat untuk dibawa ke Parlimen.
 
"Kita faham undang-undang memang tak halang nak letak jawatan. Wakil rakyat itu pun tak perlu beritahu alasan letak jawatan, hanya perlu tulis surat kepada speaker dan beritahu tarikh mahu letak jawatan. Tapi ini dari segi moral tidak betul," kata Abdul Aziz.
 
Beliau juga berpendapat pilihan raya kecil N25 Kajang tidak sepatutnya berlaku kerana Lee menang dengan majoriti yang besar iaitu 6,824 undi dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.
 
"Malah saya dimaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai masalah untuk berkhidmat selama lima tahun, tapi sayangnya hanya lapan bulan beliau dah letak jawatan.
 
"SPR tidak akan terkilan jika beliau meletak jawatan atas sebab yang munasabah seperti mengalami masalah kesihatan atau ada masalah peribadi," katanya.
 
Beliau menambah, jika dibandingkan dengan beberapa negara lain, mana-mana wakil rakyat yang mengosongkan kerusi tanpa sebab munasabah akan 'digantikan' dengan calon kedua yang mendapat undian tertingggi semasa pilihan raya diadakan, namun perkara itu tidak diamalkan di negara ini. - BERNAMA

Comments

Popular Posts